Tuesday, August 7, 2007



Epilog and Anda: Kerjaya

Memfitnah pesaing untuk berjaya.....

JAWAPAN

Dalam sebuah hadis Abu Hurairah berkata, sesungguhnya Rasulullah s.a.w. ada bersabda: Tahukah anda, siapakah orang yang bankrap itu? Kami, iaitu para sahabat menjawab: Orang yang bankrap ialah mereka yang tidak mempunyai dirham, dinar dan tidak mempunyai barang yang berharga. Baginda menjawab: Orang yang bankrap dari umatku itu ialah mereka yang datang pada hari kiamat, bersama pahala sembahyang, puasa dan zakat. Tetapi telah datang orang yang menuntut kerana dimaki, tertuduh dan memakan harta, mengalirkan darah, memukul dan sebagainya.Maka tuntutan ini dibalas dengan pahalanya dan apabila kebaikan telah habis padahal tuntutan demi tuntutan masih ada, maka dosa-dosa kejahatan orang yang menuntut itu dipertanggungjawabkan ke atas orang yang kena tuntut, sampai akhirnya orang yang dituntut dihumban ke dalam neraka.Setiap orang yang beriman kepada Allah wajib percayakan Rukun Iman. Antara kandungan Rukun Iman itu ialah percaya tentang adanya hari kiamat, juga balasan baik dan jahat daripada Allah pada hari berkenaan. Pada hari tersebut yang juga dikenali dengan hari hisab, setiap orang akan diadili manakala setiap yang menuntut akan diberi haknya oleh Allah s.w.t.Abu Dzar meriwayatkan sebuah hadis, bahawa pada satu ketika Rasulullah melihat dua kambing yang saling tanduk-menanduk. Lalu baginda bersabda: Wahai Abu Dzar, kenapa kedua-dua kambing itu saling tanduk-menanduk? Abu Dzar menjawab: Aku tidak tahu ya Rasulullah. Baginda menjawab: Tetapi Allah mengetahui dan Ia akan memberi balasan antara kedua-duanya, kelak pada hari kiamat.Abu Hurairah berkata mengenai firman Allah (Al-An'am 38): Dan tidaklah binatang-binatang yang ada di bumi dan burung-burung yang terbang dengan kedua-dua sayapnya melainkan umat-umat juga seperti kamu. Tiadalah Kami alpakan sesuatu pun di dalam al-kitab, kemudian kepada Tuhan lah mereka dihimpunkan.Sesungguhnya semua makhluk pada hari kiamat akan dihimpunkan, baik binatang yang berkaki, mahupun yang melata dan burung yang terbang membelah awan. Setiap satu akan mendapat pembalasannya dengan adil, hingga binatang yang tidak bertanduk terhadap yang bertanduk. Setelah terlaksana tuntutan balas buat binatang yang menuntut, lalu dikatakan: Jadilah anda sebagai debu. Ketika itu maka orang kafir berkata: Betapa andainya aku boleh menjadi tanah (seperti binatang).Keterangan hadis di atas jelas memperlihatkan bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh manusia itu akan diberi balasan oleh Allah, tidak kira perbuatan itu diketahui oleh orang lain atau tidak. Orang yang melakukan perbuatan fitnah seperti saudara, ghibah iaitu menyebut keburukan orang, menghasut pihak-pihak tertentu dengan niat jahat, berdusta juga perbuatan jahat seperti angkuh dan sombong, juga mereka yang menyembunyikan makanan, apa-apa bahan keperluan harian dengan tujuan untuk menjualnya dengan harga yang tinggi adalah antara perbuatan yang dilarang lagi dicela.Rasulullah pernah bertanya kepada sahabat-sahabat yang ada bersamanya, apakah yang mereka tahu tentang ghibah. Mereka menjawab menyatakan bahawa Allah dan rasulnya lebih mengetahui. Baginda menjawab: Apabila engkau memperkatakan sesuatu tentang saudaramu yang dia tidak suka, maka engkau telah melakukan perbuatan ``ghibah''. Baginda juga ditanya tentang orang yang memperkatakan diri seseorang dan apa yang dikatakan itu benar. Baginda menjawab bahawa sekiranya apa yang dikatakan itu benar maka itu dinamakan ghibah. sekiranya tidak, maka itu dinamakan buhtan, iaitu mereka-reka keburukan untuk menjatuhkan atau memburuk-burukkan seseorang.Pada satu ketika seorang perempuan pendek datang menemui Nabi. Setelah balik, Sayidina Aisyah berkata: Alangkah pendeknya perempuan tadi. Baginda menjawab: Engkau telah melakukan perbuatan ghibah. Aisyah menjawab yang dia tidak mengatakan sesuatu, kecuali apa yang benar ada padanya. Baginda bersabda: Sesungguhnya engkau telah menyebut sesuatu yang paling buruk mengenainya.Ketika perjalanan di waktu malam dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa, baginda diperlihatkan oleh Allah satu kaum yang dipotongkan daging pinggangnya, lalu diberi makan kepadanya dengan kalimah: makanlah apa yang dahulu kamu makan dari daging saudaramu. Baginda bertanya kepada Jibril, siapakah mereka itu. Jibril menjawab, mereka itu adalah terdiri dari umat Muhammad yang suka mengumpat, ghibah, iaitu menyebut keburukan orang lain, mengejek dengan isyarat, lidah atau dengan tangannya.Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Pemurah. Allah mahukan setiap hamba itu sentiasa bertaubat lebih-lebih lagi mereka yang melakukan dosa-dosa besar. Dan apabila dosa yang dilakukan melibatkan hak anak Adam, maka mereka yang terlibat hendaklah menyelesaikannya terlebih dahulu.Sekiranya dosa yang dilakukan itu melibatkan harta anak yatim, contohnya abang atau pak cik yang membolot harta adik-beradiknya atau saudaranya yang kematian orang tua, membolot tanah, rumah ataupun apa-apa harta peninggalan, dengan menduduki rumah, membina bangunan di atas tanah atau anak-anak menuntut tanah yang telah diwakafkan oleh bapa mereka kepada Jabatan Agama Islam contohnya, yang dilakukan hanya dengan mulut, tanpa mengisi borang, saksi dan sebagainya.Menurut Islam, penyerahan tanah seperti ini adalah sah, tetapi kerana ia dilakukan secara tidak rasmi, seperti banyak berlaku di zaman dahulu, menyebabkan tanah tersebut terbiar berpuluh tahun begitu sahaja dan apabila tanah tersebut menjadi kawasan bandar dan harga atau nilainya melambung mencecah jutaan ringgit, maka anak tadi pun menuntut melalui mahkamah, tanpa menghiraukan hasrat murni ayah atau datuknya yang telah mewakafkan kepada Jabatan Agama Islam dan akhirnya dia berjaya memiliki tanah berkenaan biarpun sebenarnya dia menyedari apa yang sebenarnya berlaku.Mereka yang terlibat melakukan dosa seperti ini atau dosa seperti berhutang seperti hutang di kedai runcit, hutang surat khabar yang dihantar setiap pagi, hutang roti yang dihantar setiap petang, hutang pinjaman ketika belajar dan sebagainya, termasuk saudara iaitu orang yang terlibat memfitnah pesaing ketika ``rebutan kuasa'' perlulah memohon maaf kepada orang yang kena zalim.Banyak bertaubatKalau ia melibatkan wang, wang itu wajib dibayar, ditunaikan. Sekiranya ia melibatkan harta anak yatim, harta wakaf yang dimenangi melalui tuntutan mahkamah dan sebagainya yang menjadi darah daging dimakan setiap pagi hendaklah dibayar.Sekiranya tidak berupaya membayarnya, seseorang itu hendaklah memohon agar dihalalkan. Sekiranya orang yang memberi hutang itu tidak diketahui di mana tinggalnya, wajib orang berhutang itu membayar kepada saudara-mara orang yang memberi hutang tadi.Sekiranya tidak diketahui seorang pun saudara-maranya atau tidak diketahui hak siapa sebenarnya tanah atau rumah yang didiami terlalu lama, atau harta yang dimakan, tanah yang diduduki sehingga turun-temurun, maka orang yang berkenaan hendaklah menggantinya atau bersedekah kepada fakir miskin.Dalam masa yang sama, ia hendaklah banyak bertaubat, di samping melakukan ibadah sebanyak boleh, berazam tidak akan melakukan dosa-dosa seumpama ini, juga dosa-dosa lain, agar Allah mengampunkannya dan menerima bayaran yang dilakukan sebagai ganti.Memang benar Allah itu Maha Pemurah lagi Mengasihani, juga Maha Pengampun. Namun apabila ia melibatkan hak-hak anak Adam, orang yang terlibat hendaklah meminta halal kepada yang berkenaan, begitu juga dengan saudara yang melakukan fitnah kepada lawan saudara ketika berlakunya ``rebutan kuasa'' yang akhirnya saudara menang.Kita lihat dan renung betapa Allah menghormati hak anak Adam yang perlu disempurnakan oleh mereka yang terlibat. Kerana itulah Rasulullah menjelaskan bahawa roh orang mukmin, sama ada akan dimasukkan ke syurga atau neraka adalah bergantung kepada hutang yang ditanggung, sehinggalah hutang itu dibayar atau dilangsaikan di kalangan manusia.Sekiranya hak itu tidak disempurnakan di dunia, tidak dihalal atau tidak dimaafkan, setiap orang yang teraniaya berhak menuntut haknya di hadapan Allah. Ketika itu, setiap orang yang dinafikan haknya di dunia, teraniaya, difitnah dan sebagainya akan menuntut di hadapan Allah.Mereka yang dibunuh dengan zalim, dimaki, dicela, difitnah, diumpat, orang miskin tidak mendapat hak daripada orang yang berautoriti, orang yang mempunyai tanah, yang tidak berjaya memohon daripada orang yang berkuasa, yang lebih memberi prioriti kepada saudaramara yang sebenarnya tidak berhak, pembahagian warung-warung, pengagihan kontrak dan sebagainya.Semuanya menuntut hak di hadapan Allah, Allah akan memenuhinya iaitu dengan mengambil pahala orang yang kena tuntut, diberi kepada orang yang menuntut. Apabila tuntutan itu terus terjadi, padahal pahala orang yang kena tuntut telah habis, maka Allah akan mengambil dosa orang yang menuntut diletakkan ke atas orang yang kena tuntut, lalu akhirnya orang ini dimasukkan dalam neraka.Itulah sebenarnya orang yang bankrap. Asalnya mempunyai pahala hasil ibadah yang dilakukan, tetapi habis kerana terlalu banyak tuntutan, atau banyak dosa yang dilakukan ketika hidup di dunia, berbanding kebaikan yang dilakukan.Keterangan di atas membuktikan bahawa saudara perlu berterangan terhadap apa yang telah saudara lakukan. Saudara berani buat, mesti berani tanggung. Itu tuntutan Allah yang perlu disempurnakan apabila melibatkan hak anak Adam.Walaupun demikian sekiranya tuntutan pengakuan atau ikrar ini menyebabkan berlakunya keburukan, yang membahayakan diri, maka ia tidak perlu dilakukan.Dalam keadaan ini perbanyakkan taubat kepada Allah, perbanyakkan ibadah, mudah-mudahan ibadat kita itu diterima Allah, membolehkan kebaikan yang dilakukan itu lebih banyak daripada dosa yang dilakukan.

No comments: