Sunday, October 18, 2009

Menjalin Benang-benang Cinta Kembali






Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaykum dan salam sejahtera.

Suatu ketika Rasulullah makan dengan sahabat-sahabat baginda dan yang ada bersama baginda pada waktu itu adalah Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah. Mereka makan kurma sambil berbual-bual. Apa yang dilakukan oleh baginda, setiap kali baginda menghabiskan kurma baginda,bijinya diletakkan di hadapan Ali sehingga tiadalah biji kurma dihadapan baginda sebaliknya menimbun di hadapan Ali.

Lalu Rasulullah berbicara kepada Ali, "Ya Ali, kuatnya kamu makan, hingga begitu banyak biji-biji kurma di hadapan kamu" dengan nada berjenaka.

Lalu Ali menjawab dengan berkata, " Ya Rasulullah, orang yang kuat makan itu sebenarnya yang memakan kurma hingga biji-bijinya sekali sehingga tiada lagi biji di hadapannya"

Mungkin tidak begitu banyak pengajaran yang boleh kita ambil dari kisah tadi, cuma apa yang cuba saya sampaikan di sini ialah untuk menceritakan keperibadian Rasulullah yang cukup mesra dengan sahabat baginda. Baginda bergurau, baginda berjenaka namun pastinya tidak secara berlebihan serta keterlaluan. Baginda cukup mengasihi sahabat-sahabat baginda sementara sahabat-sahabat juga turut menyintai dan mengasihi baginda sepenuh hati.

Pernah Abu Sufian berkata, "aku tidak pernah melihat seseorang menyayangi seorang yang lain seperti sahabat-sahabat Muhammad menyayangi Muhammad".

Sanggup berkorban harta, jiwa dan raga demi junjungan nabi yang kita kita cintai ini. Begitulah keadaan sahabat-sahabat di zaman baginda.

Hari ini, mungkin kita perlu kembali menilai dan muhasabah sejauh mana tahap persahabatan kita selama ini. Sejauh mana kita telah menepati seruan baginda yang mahu kita menyayangi sahabat kita seperti menyayangi diri kita sendiri. Memuliakan sahabat, membantu ketika kesusahan, memberikan senyuman ketika mana bersua dan menjadikan diri sahabat-sahabat kita itu salah satu asbab yang membolehkan kita mendapat kemanisan iman, mendapat perlindungan di padang mahsyar dan mendapat kesenangan hidup di syurga yang kekal abadi.

Ya Allah, berkatilah sahabat-sahabatku, berkatilah persahabatan kami, berikanlah kami kekuatan untuk menghadapi segala mehnah dan ujian dariMu, suburkanlah rasa cinta dan kasih sayang di hati kami demi mendapatkan rahmat dan keredhaan dariMu, serta tempatkanlah kami di syurga bersama hamba-hamba yang Engkau kasihi. Dan berikanlah kami keselamatan di dunia dan di akhirat...

Diri ini mungkin banyak melakukan kesilapan, culas dalam menunaikan hak-hak dalam bersahabat namun moga Allah sentiasa memelihara rasa kasih yang ada dalam diri ini kepada sahabat-sahabat, tua ataupun yang muda. Moga kita diberkati kerananya.

1 comment:

akuhamba said...

subhanallah..mari contohi akhlak baginda..

erm..kalu makan sate ngn lidi2 skali kuat mkn x?hehe..just kidding