Saturday, July 10, 2010

Baca & Pelajarilah Al Quran




Katakanlah (Wahai Muhammad), "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berkumpul dengan tujuan untuk membuat dan mendatangkan yang serupa dengan Al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi yang lain". (Al-Quran, al-Isra' 17:88)


Ayat diatas menjelaskan akan bukti bahawa Al-Quran merupakan suatu mukjizat agung yang tidak akan dapat dihasilkan oleh manusia mahupu jin. Umat islam dituntut agar mempercayai Al-Quran sebagai ayat-ayat Allah yang diturunkan melalui Jibril kepada Nabi Muhammad SAW. Di dalam suatu hadis ada disebutkan, daripada Uthman r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):


Sebaik-baik kamu adalah orang yang mahu mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain. (Riwayat al-Bukhari)

Tidak kira sama ada anda mahir atau tidak di dalam membaca al-Quran, ganjaran yang banyak tetap menanti. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Rasululah pernah bersabda bahawa orang yang gemar membaca al-Quran dan mahir dalam membacanya kelak akan bersama golongan mereka yang mulia dan berbakti, manakala orang yang masih merangkak-rangkak di dalam membaca al-Quran maka dia akan mendapat dua pahala.

Amat rugilah mereka yang tidak mahu membaca al-Quran. Di dalam suatu hadis yang lain, ada diceritakan tentang kelebihan untuk membaca dan mempelajari kitab suci al-Quran. Daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):


Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah, lalu membaca kitab Allah dan mempelajarinya, melainkan akan turun ketenangan kepada mereka; mereka akan diliputi rahmat; mereka akan dinaungi para malaikat dan Allah akan menyebut-nyebut mereka di hadapan malaikat yang ada di sisi-Nya. (Hadis riwayat Muslim)

Hebatnya mempelajari Al-Quran sehinggakan kita dibolehkan untuk iri hati kepada seseorang yang diberi kemampuan untuk menghafal Al-Quran lalu dia membacanya siang malam. Hal ini disebut di dalam suatu hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim. Iri hati disini bukanlah untuk membenci, sebaliknya untuk menjadi faktor pendorong bagi membolehkan kita menuruti jejak langkah mereka.

Kelebihan Al-Quran tidak hanya terhad kepada di dunia sahaja. Daripada Abu Umamah r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):


Bacalah Al-Quran kerana pada hari Kiamat kelak dia akan datang memberikan syafaat kepada pembacanya. (Hadis riwayat Muslim)

Oleh itu ayuh ! Marilah kita membaca dan mempelajari Al-Quran. Tiada ruginya kita membaca dan mempelajari Al-Quran. Bagi mereka yang telah mahir, rajin-rajinlah mengajarkan mereka yang belum mahir.

Janganlah kita hanya menunggu akan bulan Ramadhan untuk mempelajari atau membaca Al-Quran. Mulakanlah daripada sekarang. Bacalah Al-Quran... bacalah sekurang-kurangnya satu ayat sehari...


Komen:

> Ya Allah,berilah ku kekuatan & kefahaman dalam mempelajari ilmuMu

No comments: